Wednesday, February 10, 2010

Umno juara rakyat tutup kegagalan retorik 1Malaysia

Seorang teman lama yang kini menjadi pegawai kanan di sebuah kementerian di Putrajaya mengeluh disebabkan banyak peruntukan dibawah Jabatannya ditarik balik. Penarikan tersebut menurut beliau untuk membolehkan kerajaan menjalankan pelbagai program bagi 'menyelamatkan' Umno /BN yang semakin terancam.

Menurut teman lama saya itu kebanyakan kakitangan atasan yang sering menghadiri mesyuarat diperingkat tinggi menyedari negara berada dalam keadaan ekonomi yang amat tenat.

"Negara dah papa tapi pemimpin masih nak bergaya," kata beliau sewaktu kami bersua di sebuah restoran mamak di Presint 9.

"Tapi bank negara bagi lapuran ekonomi dah meningkat," balas saya cuba provok.

"Itu semua nak sedapkan hati orang kampong saja, kalau orang bandar dan orang yang tahu kedudukan ekonomi macam kami di agensi kerajaan ni tahu lah lintang pukang kementerian kewangan duduk sorong dan tarik peruntukan.

"Ada beberapa jabatan dan kementerian yang dah diluluskan peruntukan tapi di tarik balik, yang tak lulus jangan cakap lah," jelas beliau yang kesal dengan beberapa program untuk kumpulan sasaran kementeriann tempat beliau bekerja terpaksa dibatalkan.

"You bayangkan Rye ( panggilan beliau menyebut nama saya), program-program kemahiran dan peningkatan skil untuk rakyat adalah peluang yang amat penting untuk membantu rakyat berdikari dan memulakan usaha ekonomi mereka.

"Tak kiralah mereka yang telah diberi kemahiran tu nak kerja kilang ke atau memulakan perniagaan secara kecil-kecilan. tapi sekarang dah tak ada," jelas beliau dengan penuh simpati.

"You tak buat rayuan atau buat permohonan susulan atau jelaskan hal sebenar pada kementerian kewangan ke," tanya saya.

"Rye, you ingat dengan kementerian kewangan tu macam bank ke, Ini semua bawah kuasa Najib dan kalau ketua jabatan you atau menteri yang dibawah kementerian you tak baik dengan Najib atau orang-orang Najib jangan haraplah,"katanya dalam nada hampa.

"Habis KSU (Ketua Setiausaha) kementerian you tu tak baik dengan Najib ke," soal saya.

"KSU-KSU ni kebanyakkanya pengampu-pengampu, sebab lantikan mereka semua memerlukan persetujuan Najib. Siapa berani nak bangkang atau nak buat rayuan tak ketahuan hala nanti ditukar atau dilucutkan perkhidmatan," jelasnya
" Ini andaian you saja kot," pancing saya.

"I dah jumpa KSU masa kami main Golf kat Klab Golf Tropicana minggu lalu, lepas tu masa minum-minum kat cafe house I tanya dia hal program di beberapa jabatan bawah kementerian yang terpaksa dibatal di saat akhir.

"You nak tahu apa jawapannya,"tanya beliau pada saya
" Ha, apa katanya," soal saya.
"Najib dah putuskan semua peruntukkan perlu dikurangkan atau dibatalkan kerana banyak wang akan digunakan untuk kempen pilihanraya.

"Kempen pilihanraya!!. Pilihanraya di negeri mana?,""soal saya terkejut.
"PRU 13," balasnya
"Eh, kan lama lagi, pilihanraya baru habis tak sampai dua tahun lepas, takkan nak buat pilihanraya baru pula," soal saya.

"Ye, Kempen'umno Juara Rakyat'(UJR) yang sedang dijaja seluruh negara tu adalah kempen pilihanraya dan kami agensi-agensi kerajaan disuruh turut serta dalam kempen tu bagi mengabui mata rakyat dan pembangkang.

"Dalam kempen UJR, wang dari peruntukan kerajaan kepada jabatan-jabatan yang ditarik balik tulah yang digunakan. Kerajaan mana ada duit lagi.

"Macam tu juga dengan pelbagai program kementerian dan jabatan kerajaan akan disertakan program bersama umno termasuk program-program di sekolah-sekolah menengah dan sekolah rendah," jelas kawan lama saya yang kini menjawat jawatan setiausaha sebuah kementerian di Putrajaya.

Menurut kawan saya lagi berdasarkan maklumat yang diperoleh oleh KSU di kementerian tempat dia bekerja memaklumkan bahawa Perdana Menteri, Najib Razak juga amat marah dengan kegagalan semua kementerian mempromosi kempen 1Malaysia.

"Najib tak puas hati dengan kempen 1Malaysia kerana dianggap pelbagai isu perpaduan kaum yang timbul sekarang disebabkan oleh sebotaj dari pihak dalam kerajaan yang tidak suka dengan beliau selain keberkesanan tekanan pembangkang.

"Macam mana kita nak buat program, peruntukan tak diberi, nak suruh keluar duit poket, jangan haraplah," ujarnya.

Katanya, UJR adalah usaha untuk mengembalikan keyakinan rakyat pada Umno khususnya orang-orang melayu selain usaha untuk melarikan pandangan umum berhubung kegagalan kempen 1Malaysia ciptaan Najib.